Monday, March 16, 2009

KEMAMPUAN OTAK YANG MENAKJUBKAN




Ramai manusia tidak menyedari bahawa otak mempunyai kekuatan yang amat menakjubkan. Ia umpama raksasa gagah yang sedang tidur. Pelbagai eksperimen yang dilakukan oleh saintis membuktikan potensi otak jauh lebih hebat dari apa yang kita sangkakan. Menurut ahli neurologi, kita menggunakan hanya satu peratus dari keseluruhan keupayaan otak yang sebenar. Malah penyelidikan mereka yang mutakhir menunjukkan kita menggunakan kurang dari satu peratus dari kemampuan otak yang sebenar.




Ini bermakna kita telah mensia-siakan 99% potensi otak yang maha hebat ini. Alangkah ruginya harta yang sangat berharga ini kita biarkan berdebu, tidak digunakan, tidak dipedulikan dan tidak dikembangkan. Otak orang dewasa mengandungi 10,000,000,000 (sepuluh bilion) neuron atau sel saraf. Seekor lebah yang memiliki 900 neuron mampu membuat pelbagai kerja yang mengkagumkan.Ia mampu membina indung lilin, memproses madu yang dikenali sebagai 'raja ubat', membawa masuk udara segar ke dalam sarang, mengawal suhu dan cahaya, menghasilkan cecair pencuci untuk kerja-kerja pembersihan sarang, menganalisa cahaya, berkomunikasi, menjaga kebajikan dan disiplin rakan-rakan.




Manusia yang memiliki sepuluh bilion neuron tentu mempunyai kemampuan jutaan kali ganda dari kemampuan lebah. Cuba bayangkan orang yang mempunyai RM 900 tentu boleh membeli bermacam-macam benda. Dia boleh membeli air tin, nasi lemak, kasut, pakaian, buku, basikal 'racing' dan lain-lain lagi. Bagaimana pula dengan orang yang memiliki RM 10,000,000,000 (sepuluh bilion=sepuluh ribu juta ringgit)? Sudah tentu ia mempunyai kemampuan dan 'kuasa beli' yang jauh lebih hebat. Dia boleh membeli apa sahaja dengan sekehendak hatinya. Dia boleh membeli pizza, ayam goreng di KFC, sekandang lembu, motosikal, kereta, bas, lori treler malah jet pun boleh beli.




Begitulah potensi dan kemampuan otak manusia. Masalahnya sekarang, kita tidak menyedari bahawa kita adalah 'terlalu kaya' dan memiliki kemampuan yang sungguh hebat. Kita ibarat si miskin yang tidak menyedari bahawa di bawah rumah kita tersimpan harta karun warisan keturunan kita yang tidak ternilai harganya.




Sekiranya potensi otak ini betul-betul diperkembangkan dan dimanfaatkan, kita akan menjadi seorang Super Pintar dan mampu mengingati apa sahaja maklumat dengan tidak lupa selama-lamanya. Berapa ramai cendiakiawan Islam memanfaatkan keupayaan otak mereka untuk menghafal 6,666 ayat Al-Qur'an, menghafal 100,000 hadis dan menghafal puluhan kitab tebal yang mengandungi ribuan mukasurat. Mereka berupaya mengingati kitab-kitab tersebut lengkap dengan bab, muka surat, perenggan, ayat, baris, koma dan noktahnya sekali. Selain dari mempunyai daya hafazan yang mantap, mereka memiliki kepintaran yang luar biasa seperti yang berlaku kepada Imam Ghazali, Imam Syarie, Ibnu Farabi, Ibnu Sina dan lain-lain.



SISTEM INGATAN MANUSIA
Maklumat yang diterima akan disimpan di dalam ingatan. Terdapat dua jenis sistem ingatan :




(i) INGATAN JANGKA PENDEK


Maklumat yang diterima, disimpan di dalam ingatan jangka pendek dalam tempoh yang singkat, iaitu di antara 30 saat hingga 24 jam. Proses kehilangan maklumat dari gudang ini amat pantas kerana muatannya terhad. Ianya mudah hilang dari ingatan seperti nombor telefon, senarai harga dan nombor pendaftaran kenderaan. Sesetengah maklumat dari sistem ingatan jangka pendek akan berpindah memasuki sistem ingatan jangka panjang jika ianya diberi penumpuan dan diulang-ulang. Maklumat yang tidak berpindah ke sistem ingatan jangka panjang, kebanyakkannya akan lupus begitu saja.



(ii) INGATAN JANGKA PANJANG


Ingatan ini bermaksud ingatan terhadap sesuatu maklumat dalam tempoh yang lama. Sebenarnya setiap maklumat yang tersimpan dalam ingatan jangka panjang tetap kekal sehingga ke akhir hayat seseorang. Yang menyebabkan kita tidak dapat mengingati kembali ialah kerana kelemahan untuk 'memanggil kembali' (recall) maklumat tersebut dari gudang ingatan jangka panjang.



Maklumat dari ingatan jangka panjang tidak akan luput. Ianya masih wujud dalam ingatan, cuma mengambil masa untuk dikeluarkan kerana sudah lama tidak digunakan. Anda mungkin pernah terserempak dengan kawan lama tetapi tidak dapat mengingati namanya. Puas anda cuba mengingati namanya semasa berbual tetapi gagal. Setelah pulang, tiba-tiba baru anda teringat namanya. Begitu juga kadang-kadang kita terlupa dengan sesuatu yang sudah diingati seperti nama jalan, bangunan atau tajuk buku. Selepas beberapa ketika kita mampu mengingatinya semula.



Ini menunjukkan maklumat itu masih ada, tetap tersimpan. Kita masih 'ingat' maklumat tersebut, bukan lupa. Cuma itu adalah kelemahan kita untuk memanggil kembali maklumat itu. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan 'LUPA' dalam kehidupan seharian. Penyelidikan pakar psikologi dan neurologi menegaskan kenyataan "Setiap maklumat yang tersimpan di dalam ingatan jangka panjang tidak akan hilang dan msunah selama-lamanya sehingga ke akhir hayat seseorang." Ini bukanlah cakap-cakap kosong tanpa bukti ilmiah dari para pengkaji otak. Pelbagai eksperimen saintis otak dan amalan ahli hypnotisme membuktikan penyataan tersebut. Dr. Wilder Penfield, seorang saintis otak dari Universiti McGill, Montreal, telah melakukan pembedahan ke atas otak pesakitnya. Beliau telah mengalirkan arus elektrik dengan kadar yang sangat halus pada otak subjeknya iaitu pada bahagian yang dikenali sebagai neucortex. Terbukti subjeknya didapati mampu mengingati peristiwa-peristiwa puluhan tahun lampau dengan terperinci. Misalnya warna baju, nombor-nombor telefon, perbualan pada hari-hari yang tertentu pada puluhan tahun yang lalu.



Begitu juga yang berlaku kepada para subjek ahli-ahli hypnotisme. Hypnotisme adalah ilmu membangkitkan minda bawah sedar seseorang dengan menidurkannya terlebih dahulu. Subjek-subejk ahli hypnotisme juga mampu mengingati kembali peristiwa lampau dan mampu menceritakan apa yang dilakukan oleh mereka pada hari-hari tertentu pada 10,20 malah 50 tahun yang lampau! Kedua-dua jenis eksperimen ini membuktikan maklumat tersebut tetap kekal di dalam ingatan dan tidak akan luput selama-lamanya.Orang genius dan yang mempunyai ingatan luar biasa ialah orang yang berkebolehan 'memanggil kembali' maklumat yang tersimpan di dalam sistem ingatan jangka panjang. Itu sahaja kebolehan mereka. Benarlah pendapat Professor Diraja Ungku Aziz bahawa manusia mempunyai kemampuan untuk menyimpan ilmu pengetahuan yang tidak terhingga banyaknya jika mengetahui tekniknya.Jika anda ingin menjadi gemius, anda haruslah menguatkan potensi otak dengan meransang, melatih, menyubur, menyihat dan mencergaskan otak melalui kaedah-kaedah moden dan tradisional. Kajian menunjukkan keupayaan otak boleh ditingkatkan perkembangannya melalui berbagai-bagai rangsangan, saranan, pemakanan, senaman, latihan, amalan dan pantang hidup. Kajian ulama-ulama Islam menambah bahawa amalan-amalan kerohanian termasuk doa, ibadah dan taqwa juga boleh menyubur dan mengaktifkan sel-sel otak.



OTAK YANG CERDAS TERLETAK PADA BADAN YANG SIHAT
Untuk mendapatkan otak yang sihat atau cerdas, kita perlu memiliki tubuh badan yang sihat terlebih dahulu. Oleh itu, anda perlulah melakukan senaman, mengamalkan amalan pemakanan yang berkhasiat, berzat, seimbang dan berjadual, amalan hidup yang betul dan menyihatkan, berpuasa, berjiwa tenang, membersihkan perut, dan lain - lain lagi rahsia yang dipaparkan di sini. Kesihatan mental bergantung kepada kesihatan tubuh badan.

RAHSIA 1 - PEMAKANAN UNTUK KEPINTARAN AKAL



Makanan mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap tubuh badan, jiwa, emosi dan akal. Kalau seseorang tidak memperolehi makanan dalam tempoh yang lama, 20 jam umpamanya, badannya menjadi letih, penat dan lesu. Jiwanya lemah dan pesimis. Otaknya lembab dan kuasa fikirannya menurun. Emosinya terganggu menyebabkan ia menjadi pemurung , perakus dan pemarah. Bila sahaja mendapat makanan, tiba-tiba dia berubah menjadi cergas, cerdas, lincah, bersemangat, riang dan gembira. Begitulah besarnya pengaruh makanan terhadap fizikal, spiritual, mental dan emosi.



Pun begitu, terdapat pelbagai jenis makanan. Ada yang cepat memberi kesan terhadap kecergasan otak, ada yang lambat. Tugas kita ialah memilih makanan yang terbaik dan memberi kesan terpantas terhadap minda. Makanan terbaik ialah makanan yang halal, seimbang, berzat dan berjadual.



Makanan seimbang ialah set makanan yang mengandungi kesemua bahan makanan yang diperlukan oleh otak dan tubuh supaya dapat berfunsi dengan sempurna. Ia terdiri dari tujuh kumpulan makanan iaitu protein, karbohidrat, vitamin, lemak, mineral, air dan serat. Tanpa keseimbangan makanan, fungsi sel-sel dalam otak dan organ tubuh badan akan terjejas.



MAKANAN UNTUK KESIHATAN BADAN DAN KEPINTARAN AKAL



1)KARBOHIDRAT


Membekalkan tenaga kepada seluruh badan termasuk otak. Sumbernya ialah nasi, roti, sayur - sayuran, madu, gula, buah-buahan seperti kentang, keledek, pisang dan lain-lain.



2)PROTEIN


Ia mata perlu untuk KESIHATAN OTAK KESELURUHANNYA. Berperanan menumbuh, membentuk, membesar dan mengantikan sel-sel yang rosak. Sumbernya ialah susu, daging, ikan, telur, kekacang, tauhu, keju, kacang pis dan lain-lain.



3)LEMAK


Membekalkan tenaga kepada badan. Sumbernya ialah mentega, minyak makan, marjerin, lemak binatang dan tumbuhan.



4)AIR


Merupakan bahan utama semua benda hidup. Air berfungsi mengeluarkan kekotoran, membersih dan mengalir darah serta zat makan ke seluruh badan. Seterusnya MENGEKALKAN KESIHATAN OTAK. Kita mudah dihinggapi penyakit, gangguan emosi dan gangguan sistem pencernaan sekiranya kekurangan air. Seelok-eloknya minumlah air mati (jarang/masak/putih) sebanyak 8 gelas sehari. Sebelum tidur, cukupkanlah bilangan air yang perlu diminum.



5)MINERAL


Untuk aktiviti saraf dimana otak merupakan teraju utamanya. Sumbernya ialah telur, susu, sayur - sayuran, limpa, hati, ulam-ulam dan makanan laut seperti udang.



6)VITAMIN


Semua vitamin A,B,C,D,E dan K diperlukan.Vitamin AMenguatkan deria penglihatan dan pendengaran, menguatkan tenaga dan urat saraf serta melicinkan pernafasan. Sumbernya ialah susu, kuning telur, sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan.



Vitamin B


Membantu pembakaran makanan yang lebih efektif untuk kesihatan badan. Sumbernya ialah sayur-sayuran, bijirin, telur, hati, yis, buah-buahan segar, beras dan kacang.



Vitamin C


Penguat sistem ketahanan badan, meningkatkan kesihatan mata dan kulit, meninggikan daya tumpuan seterusnya engurangkan khayalan semasa proses pembelajaran. Sumbernya ialah sayur-sayuran dan buah-buahan.



7)SERAT


Melicinkan sistem pencernaan dan pembuangan najis. Gangguan pada sistem pencernaan menyebabkan kehilangan daya tumpuan, kelemahan fikiran dan gangguan perasaan. Kesemuanya ini menjejaskan potensi otak dan ingatan. Sumbernya ialah sayur-sayuran dan buah-buahan.



ZAT-ZAT MAKANAN UNTUK KEKUATAN INGATAN
Menurut penyelidikan saintifik terkini, terdapat beberapa zat makanan yang dapat membantu meningkatkan kekuatan memori. Bahan -bahan tersebut ialah Choline, Lesithin, Vitamin E, Asid Glutamik, Kalium Fosfat, Magnesium Fosfat dan Silika.



Choline ialah sejenis asid amino. Boleh diperolehi dari kacang soya, bunga kobis, kacang pistachios daging, ikan dan telur. Lesithin didapati dari telur merah, kacang soya dan organ otak binatang terutama otak ayam. Vitamin E terdapat dalam hati, telur ayam, betik, sayuran hijau, sayur taugeh, minyak kelapa sawit dan bijirin seperti jagung, beras, tepung gandum penuh(wholemeal). Asid Glutamik terdapat dalam kacang soya terutamanya. Manakala Kalium Fosfat, Magnesium Fosfat dan Silika boleh diperolehi dengan menggunakan ubat-ubatan dari sistem perubatan biokimia.

AMALAN KEROHANIAN UNTUK MENDAPAT MENTAL YANG CERDAS, DAYA KEFAHAMAN YANG MANTAP DAN MUDAH MENGUASAI ILMU



Dirikan sembahyang hajat 2 rakaat. Pada rakaat pertama selepas Al-Fatihah, baca surah Al-Kafirun 3 kali; rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 3 kali. Selesai sembahyang baca "Astaghfirullahal 'Azim" 3 kali. Kemudian bacalah selawat di bawah ini sebanyak 3 kali. Lakukan amalan ini selama 40 hari berturut-turut. Insya-Allah berkesan.















No comments:

assalamualaikum Pictures, Images and Photos


Heart Attack

Melegakan derita sakit urat

Resdung