Monday, October 29, 2007

Kanser nasofaringeal unik di Asia

PERKEMBANGAN perubatan nampaknya sedikit sebanyak meringankan bebanan yang diletakkan ke atas penyakit kanser kerana disamakan sebagai satu hukuman mati.

Pun begitu, disahkan oleh doktor menghidap kanser masih menjadi prospek yang amat mengerikan. Dan salah satu daripada penyakit jenis itu yang terutamanya lazim berlaku di Asia Tenggara dan di China Selatan adalah kanser nasofaringeal (nay-zo-fair-in-geel-al).

Kanser nasofaringeal merebak di dalam nasofarinks iaitu satu bahagian di belakang hidung dan di atas tekak. Ia terletak betul-betul di bawah dasar tengkorak dan hanya sedikit di atas lelangit lembut.

Terdapat berjenis-jenis ketumbuhan atau tumor yang boleh merebak di dalam nasofarinks sama ada benigna yang tidak berbahaya atau malignant (berbahaya).

Ketumbuhan yang berbahaya ini boleh menembusi sekeliling tisu dan kemudiannya merebak ke bahagian tubuh badan yang lain.

Pakar Perunding Otolaringologi yang juga Pakar Bedah Kepala dan Leher, Hospital Pakar Puteri Johor Bahru, Johor, Dr. Archuna Umapathy berkata:

“Kanser nasofaringeal merupakan ketumbuhan yang terbentuk di dalam nasofarinks, kawasan di mana bahagian belakang hidung terbuka hingga ke bahagian atas tekak dan juga di mana saluran telinga akan terbuka hingga ke tekak.

“Kanser nasofaringeal jarang berlaku di negara-negara Barat. Sebaliknya, ia boleh didapati secara meluas di rantau Asia Tenggara dan China Selatan”.

Tidak seperti penyakit-penyakit lain, agak sukar untuk menemui jurnal-jurnal mahupun artikel perubatan yang menyentuh secara terperinci mengenai kanser ini.

Jika pun ada, satu fakta yang tidak dapat dipisahkan dengan kanser nasofaringeal adalah kaitannya dengan kaum Cina.

Ini kerana, kanser nasofaringeal boleh dikatakan unik bagi rakyat Asia sahaja di mana ia kerap ditemui di negara-negara seperti Singapura, Filipina, Hong Kong, Taiwan dan China Selatan. Ia turut direkodkan di Tunisia dan beberapa bahagian di Afrika Utara.

Dr. Archuna berkata: “Di Malaysia, di antara 50 hingga 60 peratus kanser nasofaringeal berlaku di kalangan kaum Cina manakala Melayu, hampir 40 peratus.

“Anda mungkin berisiko tinggi menghidap barah ini sekiranya anda atau nenek moyang anda berasal dari China Selatan khususnya dari Guangzhou (Kanton) atau Hong Kong.”

Siapa lagi yang berisiko

* Lelaki; ketumbuhan adalah tiga kali lebih biasa di kalangan lelaki berbanding wanita
* Berusia lebih 35 tahun; satu umur yang secara relatifnya adalah awal untuk satu-satu kanser berkembang.


Sehingga kini, penyebab utama kepada kanser nasofaringeal masih menjadi perdebatan di kalangan komuniti perubatan.

Penyelidikan berterusan sedang dijalankan dengan meluas bagi mempelajari tentang punca-puncanya.

Sekalipun tidak disokong oleh bukti yang kukuh, para saintis menjurus kepada dua kemungkinan utama iaitu faktor genetik dan persekitaran.

“Seseorang itu barangkali mewarisi kecenderungan untuk menghidap kanser nasofaringeal daripada ibu bapa atau keluarga masing-masing.

“Faktor genetik mungkin merupakan faktor risiko terpenting memandangkan keadaan penyakit itu sendiri yang sering menyerang warga yang berasal dari China Selatan,” kata Dr. Archuna.

Salah satu punca lain adalah kekerapan memakan makanan jeruk atau tinggi kandungan garamnya seperti ikan, daging dan telur masin, sayuran jeruk dan lain-lain sejak dari kanak-kanak lagi.

Kajian mendapati, makanan yang dimasak menggunakan suhu yang tinggi boleh menyebabkan penghasilan bahan kimia yang boleh memusnahkan DNA.

DNA yang rosak ini seterusnya mengubah keupayaan sel-sel untuk mengatur pertumbuhan dan proses replikasi dengan baik.

Harissa – adunan berasaskan cili berempah yang digunakan di Afrika Utara dikatakan mempunyai kaitan dengan risiko kanser nasofaringeal yang meningkat di Tunisia.

Sementara itu di China Selatan, kepercayaan popularnya dikaitkan dengan makanan diawet khususnya ikan masin yang menjadi makanan utama nelayan selama beberapa minggu berada di laut.

“Kemungkinan yang lain ialah kesan jangkitan dari Virus Epstein-Barr, sejenis serangan penyakit yang biasa berlaku di seluruh dunia,” tambah Dr. Archuna.

Bagaimanapun, dengan mengetahui faktor-faktor risiko yang boleh meningkatkan peluang seseorang mendapat penyakit ini, sudah cukup baik sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kebanyakan kes kanser nasofaringeal boleh dikesan pada peringkat awal penyakit lagi kerana ia menunjukkan gejala-gejala yang menyebabkan pesakit perlu mendapatkan perhatian perubatan.

“Malangnya, sesetengah darinya sama sekali tidak memperlihatkan sebarang gejala sehinggalah penyakit sudah sampai ke peringkat yang lebih teruk,” ujar beliau.

Sebahagiannya juga mungkin menunjukkan gejala-gejala yang lebih kelihatan seperti boleh dikaitkan dengan penyakit biasa dan bukannya kanser.

Ada juga benigna yang boleh menghasilkan beberapa gejala seperti kanser nasofaringeal dan penilaian perubatan adalah satu-satunya untuk memastikan kewujudan NPC atau sebaliknya.

Dalam kes-kes tertentu di mana masalah hidung seperti resdung atau rinitis kronik adalah biasa, gejala hidung yang dianggap tidak penting ini selalunya akan dibiarkan begitu sahaja beberapa bulan lamanya sehingga tanda akhir kelenjar leher metastatik muncul.

Petanda awal kanser nasofaringeal

- Titisan hidung

- Masalah hidung berdarah

- Hidung tersumbat

- Masalah pendengaran di sebelah telinga atau rasa berdesing di sebelah atau kedua-dua telinga.


Tanda-tanda lain (mungkin sudah lewat)

- Penglihatan menjadi berganda atau kabur akibat serangan saraf-saraf yang mengawal pergerakan mata

- Pening kepala

- Rasa kebas di separuh bahagian muka

- Mengalami masalah pertuturan

- Terdapat ketulan di leher.


Mujurlah peluang untuk menyembuhkan kanser nasofaringeal adalah tinggi, di antara 80 hingga 90 peratus sekiranya ia berjaya dikesan pada peringkat awal lagi.

“Apabila kanser disahkan pada tahap lewat, peluang penyembuhan akan merosot di antara 30 hingga 40 peratus,” kata Dr. Archuna.

Jika terdapat salah satu daripada tanda-tanda atau gejala-gejala seperti di atas, doktor akan melakukan sesi interbiu dengan pesakit bagi mengetahui tentang sejarah keluarga, menjalankan pemeriksaan fizikal dan beberapa prosedur perlu.

“Doktor akan menggunakan kaedah endoskopi untuk cuba melihat kanser tersebut di mana sebuah kamera kecil di hujung satu tiub yang halus akan dimasukkan ke dalam hidung pesakit bagi membolehkan doktor melihat dengan lebih dekat ketumbuhan kanser tersebut.

“Ketika menjalani ujian endoskopi, doktor akan mengambil secebis kecil ketumbuhan tersebut sebagai sampel biopsi. Cebisan ketumbuhan ini akan dihantar ke makmal untuk diperiksa menggunakan mikroskop,” jelasnya lagi.

Doktor juga mungkin meminta pesakit menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT scan) atau pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk menentukan saiz ketumbuhan tersebut.

Dr. Archuna menegaskan agar mana-mana individu yang mengalami tanda-tanda kanser nasofaringeal agar segera berjumpa bagi membolehkan diagnosis yang tepat dibuat dan rawatan yang berkesan dimulakan.

Selalunya, gejala pertama kanser nasofaringeal yang dikesan oleh pesakit adalah bengkak pada leher yang bermakna, kanser telah merebak ke leher.

Keadaan itu menunjukkan bahawa ketumbuhan di belakang kerongkong telah berkembang selama beberapa bulan atau tahun dan melewati peringkat pertama.

Rawatan

Kata Dr. Archuna, pemulihan boleh dilakukan sekiranya kanser tersebut tidak merebak ke bahagian tubuh lain.

“Rawatan radiasi dan kemoterapi adalah rawatan standard untuk memulihkan penghidap barah nasofaringeal.

“Walau bagaimanapun rawatan radiasi dan kemoterapi akan menyebabkan pesakit berasa letih, dahaga dan sakit di dalam perut. Pesakit juga mungkin berasa pening selepas rawatan radiasi dilakukan,” ujar beliau.

Pembedahan hanya akan dilakukan sekiranya insidens kanser nasofaringeal berulang semula setelah pesakit diberikan rawatan radiasi.

Statistik berkaitan

- Saban tahun, lebih 50,000 orang di rantau ini meninggal dunia disebabkan oleh kanser nasofaringeal

- Adalah dianggarkan di antara 15 hingga 20 kes kanser nasofaringeal dilaporkan bagi setiap 100,000 orang di Hong Kong.


*Sumber Utusan Malaysia

No comments:

assalamualaikum Pictures, Images and Photos


Heart Attack

Melegakan derita sakit urat

Resdung