Monday, October 29, 2007

Keadaan Pesakit Asites atau Busung



RAWATAN PESAKIT ASITES

WARNA cecair yang disedut keluar akan menerangkan punca penyakit busung. Foto ihsan DR. AHMAD SHUKRI.


PENYAKIT busung sering dikaitkan dalam masyarakat Melayu dengan kepercayaan kepada kewujudan ilmu hitam.

Keadaan pesakit yang menderita berikutan perut mereka membesar seperti wanita mengandung turut menyumbang kepada tanggapan negatif masyarakat terhadap pesakit, lebih-lebih lagi jika si penghidap itu seorang lelaki.

Tanggapan umum akan bertambah buruk sekiranya pesakit itu juga mengalami muntah darah.

Bagi mencari jalan penyelesaian, bomoh selalu dijadikan tempat untuk mendapatkan rawatan dengan harapan penyakit yang dikatakan akibat buatan orang ini dapat diubati segera.

Kepercayaan karut ini tanpa disedari telah menyebabkan nyawa pesakit turut terancam hanya semata-mata kerana mereka enggan merujuk masalah kesihatan mereka kepada doktor pakar.

Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi Hospital Kuala Terengganu, Dr. Ahmad Shukri Datuk Md. Salleh berkata, busung bukan penyakit buatan orang seperti yang menjadi kepercayaan masyarakat Melayu selama ini.

Menurut beliau, busung atau asites merupakan satu keadaan di mana air terkumpul di dalam abdomen pesakit berpunca daripada penyakit tertentu.

``Biasanya pesakit yang menghidap sirosis hepar berisiko tinggi untuk memperoleh penyakit busung,'' katanya.

Gejala penyakit ini boleh berlaku secara cepat atau perlahan dan punca yang paling kerap ialah apabila berlaku kerosakan hati (sirosis hati) hingga menyebabkan fungsi hati terganggu. Ini kemudian menyebabkan berlaku pengumpulan cecair dalam badan yang masuk ke abdomen.

Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, biasanya pesakit busung akibat sirosis hepar akan mengalami penurunan berat badan akibat kurang selera makan dan kekurangan kandungan protein di dalam badan.

Mereka juga berhadapan dengan masalah limpa yang membesar. Punca utama sirosis hepar adalah virus Hepatitis B yang kronik.

Beliau berkata, 80 peratus daripada pesakit hepar yang kronik boleh mengalami busung semasa jangka hayat pesakit berkenaan.

Selain sirosis hepar, ada segelintir pesakit mengalami masalah buah pinggang yang menyebabkan kehilangan protein melalui air kencing.

Malah setiap kali bangun pagi, mereka akan mendapat kebengkakan di sekeliling mata dan pada waktu petang pula, kaki mereka menjadi lebih bengkak.

Busung akan terjadi akibat kekurangan kandungan protein di dalam darah.

``Jika busung ini berpunca daripada masalah jantung pesakit akan berasa sesak nafas,'' ujarnya.

* Tanda-tanda

Dr. Ahmad Shukri menasihati orang ramai supaya lebih peka terhadap penyakit busung kerana ia boleh menjadi tanda bagi penyakit yang lebih serius seperti barah.

Katanya, barah yang berpunca daripada usus, hepar dan organ dalaman yang lain boleh merebak ke permukaan peritoneum dan menyebabkan busung.

Antara tanda-tanda busung ialah:

* Pembengkakan dan ketidakselesaan di bahagian abdomen

* Penurunan berat badan.

Apabila busung tersebut semakin membesar ia akan menyebabkan berlakunya umbilical hernia iaitu pusat menjadi besar dan tersembul keluar.

Jika busung berpunca daripada sirosis hepar, pesakit juga mungkin mengalami muntah berdarah disebabkan oleh pembengkakan saluran darah di esofagus yang dikenali sebagai esophageal varices.

* Punca

* Sirosis hepar

* Radang hepar

* Kegagalan jantung

* Sindrom nephrotic iaitu penyakit buah pinggang yang menyebabkan kehilangan protein pada air kencing dan menyebabkan pengumpulan air di bahagian abdomen

* Radang pankreas akan menyebabkan berlakunya pengeluaran cecair. Pesakit juga akan berasa sakit di ulu hati yang boleh merebak di bahagian belakang badan di mana pesakit akan mengalami sakit belakang

* Barah yang merebak ke peritoneum yang berpunca sama ada daripada usus, hepar, ovari, pankreas dan organ dalaman yang lain

* Tuberculosis

* Trauma

* Sindrom Budd-Chiari

* Komplikasi

* SBP iaitu radang pada permukaan peritoneum di sebabkan oleh infeksi

* Pleural effusion iaitu satu keadaan apabila cecair terkumpul pada lapisan luar paru-paru

* Pusat membesar serta tersembul keluar (Umbilical hernia)

* Kegagalan buah pinggang.

* Pemeriksaan

Pemeriksaan fizikal termasuk di bahagian abdomen dan jantung pesakit adalah penting untuk mengenal pasti punca yang menyebabkan busung.

Ultrasound dilakukan bagi melihat keadaan hati dan organ-organ dalaman yang lain seperti pankreas, ovari. Ia juga akan dapat mengesan tahap busung atau pengumpulan cecair di dalam abdomen.

CT scan abdomen mungkin perlu dilakukan sekiranya ultrasound gagal memberi sebarang maklumat yang dikehendaki.

Diagnostik tap iaitu pengambilan contoh cecair di bahagian abdomen untuk pemeriksaan lanjut bagi mengetahui punca busung di mana lebih kurang 10 hingga 20mls cecair akan dibuat secara aspirasi.

Warna cecair akan menerangkan punca penyakit busung.

Sekiranya warna cecair jernih ia disebabkan oleh radang. Jika cecair itu berwarna kemerah-merahan seperti darah ia berkemungkinan besar disebabkan oleh barah.

Pemeriksaan darah juga akan dilakukan ke atas pesakit bagi ujian hepatitis, fungsi hati dan keupayaan buah pinggang.

* Rawatan

Setelah punca busung dikenal pasti, rawatan untuk mengubati busung dirancang. Sekiranya ini tidak berjaya, rawatan akan diberikan untuk mengurangkan kandungan cecair di dalam abdomen.

Air akan dikeluarkan dari abdomen dengan mengalirkannya keluar melalui saluran tiub. Proses ini di kenali sebagai paracentesis atau drainage.

Pengeluaran cecair dengan cara ini boleh mencapai sehingga 5-10 liter dalam masa beberapa jam.

Human Albumin akan dimasukkan melalui darah sekiranya didapati paras protein dalam tubuh pesakit terlalu rendah bagi mengelakkan penurunan tekanan darah semasa proses paracentesis.

Ada juga rawatan yang menggunakan ubat-ubatan untuk mengeluarkan cecair melalui air kencing.

Bagi memperlahankan proses pengumpulan semula cecair, ubat diuretic akan diberi kepada pesakit.

Jika busung disebabkan sirosis hepar dan tidak dapat dirawat atau dikawal melalui drainage dan ubat diuretic, maka kaedah pemindahan hati boleh di lakukan bergantung kepada punca penyakit hepar berkenaan.

Selain itu, pesakit juga dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan garam kerana pengambilan garam boleh menyebabkan cecair berkumpul di bahagian abdomen.

* Ubat

* Diuretic digunakan untuk mengeluarkan cecair melalui air kencing

l Human Albumin akan diberi jika didapati paras protein dalam tubuh pesakit terlalu rendah

* Pesakit akan diberi antibiotik kalau terdapat tanda-tanda infeksi pada peritoneum.

* Pemakanan pesakit busung

Secara umumnya pesakit perlu mengamalkan pemakanan yang mengandungi kandungan garam yang rendah iaitu 22mmol sehari. Pengambilan air pula tidak boleh melebihi 1 liter sehari.

Mendapatkan rehat yang mencukupi amat penting untuk pesakit busung. Mereka juga perlu memantau berat badan. Sekiranya berat badan bertambah, ini menunjukkan pengumpulan semula cecair di dalam abdomen.

No comments:

assalamualaikum Pictures, Images and Photos


Heart Attack

Melegakan derita sakit urat

Resdung