Tuesday, February 9, 2010

Kebaikan diet ikan kepada kesihatan

Anda pasti pernah mendengar bahawa kolesterol yang tinggi di dalam darah boleh menyumbat dan mengurangkan kekenyalan saluran darah arteri. Mungkin anda juga pernah mendengar mereka yang mempunyai kolesterol yang tinggi mempunyai risiko untuk menghidap penyakit-penyakit kronik seperti serangan jantung, strok, penyakit buah pinggang, alahan, kanser dan lain-lain. Tetapi anda akan terkejut sekiranya saya mengatakan bahawa mereka yang mempunyai kolesterol yang tinggi di dalam darah akan mempunyai risiko yang rendah untuk menghidap penyakit-penyakit kronik sekiranya mereka mengambil diet ikan hampir setiap hari.
      Pada awal tahun 1950an satu kajian statistik mendapati orang-orang Eskimo tidak mempunyai penyakit serangan jantung langsung berbanding dengan orang-orang Amerika walaupun ujian darah mendapati paras kolesterol mereka agak tinggi seperti orang-orang Amerika. Tambahan lagi, dari awal 1950an hingga ke pertengahan tahun 1970an, rekod penyakit-penyakit  kronik seperti asthma, kencing manis, penyakit gastritis, penyakit buah pinggang dan lain-lain di kalangan orang-orang Eskimo juga adalah rendah.

      Mengapa keajaiban ini boleh berlaku? Para saintis telah membuat kajian ke atas orang-orang Eskimo dan mendapati mereka mengambil hampir 13 ounce makanan laut hampir setiap hari. Kajian ke atas ikan-ikan yang mereka makan mendapati ianya mengandungi banyak kandungan sejenis asid lemak yang dinamakan omega-3. Berbanding dengan makanan yang di dapati di darat seperti sayur-sayuran dan daging binatang, ianya mempunyai banyak kandungan asid lemak omega-6.
      Para saintis telah membuat pelbagai eksperimen ke atas asid lemak omega-3 dan omega-6 dan mereka telah mendapati bahawa asid lemak omega-6 boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik kerana ianya meningkatkan paras sejenis bahan kimia di dalam badan yang dinamakan asid arachidonic. Asid arachidonic boleh menyebabkan:
  1. pembentukan darah beku di dalam salur darah arteri
  2. mengecutkan salur darah arteri dan ini mengurangkan pengaliran darah ke organ-oragan dan tisu-tisu terbabit
  3. menyebabkan kekejangan kepada saluran pernafasan dan jantung
      Sebaliknya asid lemak omega-3 yang terdapat banyak pada ikan didapati dapat menghindar penyakit-penyakit kronik kerana:
  1. ia akan merencat pembentukan asid arachidonic oleh asid lemak omega-6
  2. mengurangkan LDL-kolesterol dan meningkatkan HDL kolesterol di dalam darah
      Maka  itu, kita digalakkan untuk mengambil lebih banyak ikan di dalam diet harian kita  agar kesihatan kita dapat terhindar daripada penyakit-penyakit kronik.
     

No comments:

assalamualaikum Pictures, Images and Photos


Heart Attack

Melegakan derita sakit urat

Resdung